Thursday, April 12, 2012

DOA SEBELUM TIDUR

Walaupun ramai yang tahu tapi yakin masih ramai tidak mengamalkannya.



Berwuduk sebelum tidur :

Berdasarkan hadis; dari Barra’ Bin ‘Azib bahawasanya Rasulullah bersabda:

“Apabila kamu hendak ke tempat tidur, maka berwuduklah seperti wuduk kamu untuk menghadiri solat…”
(Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim)

Ia adalah saranan berwuduk ketika hendak tidur. Jika seseorang sudah mempunyai wuduk, maka tidak perlulah mengangkat wuduk lain, kerana maksud saranan itu sudah tercapai iaitu orang Islam perlu tidur dalam keadaan suci dikhuatiri maut menjemput pada ketika itu. Bersuci juga dapat menjauhkan diri daripada gangguan syaitan dan mententeramkan diri daripada perasaan takut ketika tidur.

Perkara yang sunat dilakukan sebelum tidur.

-Mengambil wuduk.
-Membaca zikir yang diajarkan Rasulullah SAW kepada Saiditina Fatimah dan Saidina Ali ketika hendak tidur hendaklah bertasbih (Subhanallah) sebanyak 33 kali, bertahmid (Alhamdulillah) 33 kali dan bertakbir (Allahu Akbar)34 kali..
-Membaca ayat Qursi kemudian menyapu muka serta melurutkan tangan ke arah kaki sekadar capaian tangan dan diulang tiga kali.
-Membaca Surah Al-Fatihah, surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An- Naas .
-Bermuhasabah di atas dosa-dosa harian yang dilakukan sepanjang hari lalu memohon ampun kepada Allah dan berazam melakukan perkara lebih baik pada keesokan harinya.
-Berdoa kepada Allah dengan berserah diri kepada-Nya antaranya doa yang bermaksud: “Ya Allah dengan menyebut nama-Mu aku mati dan hidup”.
-Mengucap dua Kalimah Syahadah kerana dikhuatiri malam itu adalah tidur terakhir bagi kita. Moga-moga kalimah toyyibah itu menjadi kalimah terakhir dilafaz dalam perjalanan menemui Allah SWT.

Umat Islam juga diajar bagaimana menangani persoalan mimpi seperti diriwayatkan Abdullah bin Abu Qotadah bahawasanya Rasulullah bersabda: “Mimpi yang baik daripada Allah, sedangkan mimpi yang buruk daripada syaitan, maka apabila salah seorang di antara kamu bermimpi buruk hendaklah ia meludah ke arah kiri dan mohonlah perlindungan kepada Allah dari keburukannya, sesungguhnya hal itu tidak akan memudaratkannya”. (Riwayat Bukhari Muslim)

Apabila bermimpi sesuatu perkara yang baik hendaklah memuji Allah dan menceritakannya kepada orang yang menyukai, tetapi jika sebaliknya hendaklah memohon perlindungan kepada Allah, kemudian meludah ke arah kiri tiga kali, berpindah tempat, solat dua rakaat dan jangan menceritakan kepada seorang pun supaya tidak timbul andaian dan pandangan yang bukan-bukan yang boleh
menimbulkan ketakutan atau keluh kesah.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...